RAJA Mukhriz tampilkan kelainan dan dimensi baru dalam filem seram, Harmonika.
RAJA Mukhriz tampilkan kelainan dan dimensi baru dalam filem seram, Harmonika.
BARISAN pelakon dan kru produksi filem ini.
BARISAN pelakon dan kru produksi filem ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Diinspirasikan daripada pertembungan ideologi membabitkan kepercayaan wujudnya perkara ghaib dan ideologi medikal dari sudut psikologi, filem Harmonika arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menggegarkan pawagam seluruh tanah air, semalam.

Ini adalah kolaborasi kedua Aifa Motion Pictures Sdn Bhd dan Elevenfield Sdn Bhd selepas filem Ophilia yang mengangkat pelakon utamanya Kodi Rasheed sebagai Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia 27.

Menerusi filem seram ini, pengarah yang memenangi anugerah Pengarah Harapan FFM27 ini cuba menampilkan kelainan dengan menggandingkan pelakon berpengalaman Siti Elizad Sharifuddin dan Ahya Rosli.

Meskipun menghasilkan karya berbajet kecil, sentuhan Raja Mukhriz tidak menghampakan, malah sutradara ini menerima tepukan gemuruh sebaik berakhir tayangan khas Harmonika di e-Curve, Mutiara Damansara, Selasa lalu.

Kesan bunyi dan kejutan yang diketengahkan dalam filem ini mampu membuatkan jantung penonton berdegup kencang malah ada yang tidak senang duduk sepanjang tayangan.

Bagaimanapun, penonton perlu menghayati sepenuhnya jalan cerita untuk memahami misteri harmonika serta pertaliannya dengan pasangan suami isteri Harmi (Ahya) dan Ika (Elizad).

Raja Mukhriz ketika ditemui berkata, Harmonika membawa satu dimensi baru dalam kariernya sebagai pengarah.

“Ia percubaan baru kerana sebelum ini saya banyak mengarah genre lain. Saya cuba sahut cabaran yang diberikan penulis skripnya untuk mengarah Harmonika.

“Ikutkan ini bukan ‘forte’ saya kerana saya lebih gemar buat filem seperti Ophilia dan Tujuh. Ketika mengarah filem ini saya buat yang terbaik dan harap ia dapat diterima ramai,” katanya.

Menurutnya, menghasilkan filem bajet terhad bukan mudah kerana perlu meminimumkan banyak perkara.

“Saya tak boleh buat lebih-lebih dan hanya fokus kepada kandungan filem ini sahaja. Syukur saya dapat bekerja dengan Elizad kerana dia berjaya memberikan penghayatan yang baik sekali gus menghidupkan filem ini.

“Saya berani ambil Ahya kerana dia perlu diberi pendedahan yang lebih dalam lakonan. Saya tahu dia boleh hasilkan sesuatu di luar jangkaan sekiranya diberi peluang. Ada sesuatu dalam dirinya yang menarik perhatian saya,” katanya.

Bagi Elizad, membintangi Harmonika satu pengalaman baru buatnya apabila menghidupkan watak ibu yang tertekan.

“Saya ibu kepada dua anak yang boleh melihat perkara ghaib. Saya selalu memarahi anak kerana tidak percayakan apa yang mereka nampak.

“Filem ini sangat mencabar kerana saya seorang yang penakut. Bayangkan penggambaran di sebuah banglo dilakukan pada sebelah malam dan ia berlarutan hingga pagi. Bahagian atas banglo ini gelap dan saya langsung tak pandang.

“Saya takut sepanjang penggambaran sehingga terpaksa minta bantuan kru produksi untuk selalu ada di sebelah saya.

“Bahkan untuk ke tandas pun terpaksa berteman. Syukur, saya tak berdepan sebarang kejadian pelik,” katanya.

Sambung Elizad antara sebab utama dia menerima tawaran ini adalah untuk mencabar diri selain mahu bekerja di bawah bimbingan Raja Mukhriz.

“Kami anak didik Bade Azmi. Raja Mukhriz beri kebebasan kepada saya untuk mencorakkan watak. Jadi saya tak terlalu terikat dengan skrip.

“Saya tak kisah berlakon filem bajet besar atau kecil kerana apa yang penting skripnya bagus,” katanya.

Harmonika mengisahkan sepasang suami isteri yang ada dua anak yang sering bercakap dan bermain dengan makhluk ghaib.

Pelakon lain yang membintangi Harmonika ialah Nurul Fateha, Aini Batrisya, Riezman Khuzaimi dan Normah Damanhuri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:54 AM