Bukan main meluat teman Cik Pang dengan pembantu peribadi selebriti popular ini. Kata­nya, satu kerja pula teman Cik Pang nak penuhi permintaannya yang bukan-bukan, walhal bukan tugas teman Cik Pang pun!

Nak dijadikan cerita, baru-baru ini teman Cik Pang memenuhi permintaan seorang teman lain untuk adakan sesi fotografi dengan selebriti itu yang kebetulan akan keluar dengan filem terbaru.

Disebabkan si teman itu tak dapat hadir, teman Cik Pang kena berurusan dengan pembantu peribadi si selebriti itu.

Dakwa teman Cik Pang, si pembantu peribadi meminta teman Cik Pang menyediakan segala baju tajaan dan solekan untuk bosnya.

Terkejut juga teman Cik Pang. Sebab sepatutnya kalau permintaan dari pihak sana, tak kan teman Cik Pang pula nak sediakan semuanya.

Tambah si pembantu peribadi itu lagi, bosnya kalau tidak disolek memang tidak mahu bergambar sebab muka berminyak dan nampak tak kacak bila jadi tatapan peminat nanti.

Cik Pang sebenarnya nak tergelak saja bila dengar cerita ini sebab ia bukan situasi asing pun. Sudah ba­nyak kali Cik Pang dengar cerita lebih kurang serupa mengenai sikap artis-artis lain, tapi nak tak nak, hadapkan saja lah!

Cuma Cik Pang nak tegur sikit dengan pihak tertentu, jangan disebabkan sudah ada jalinan sebagai kawan dalam industri, digunakan kebaikan si teman untuk selamatkan ‘bontot’ sendiri.

Nak tolong tu, tolong juga tapi jangan sampai menyusahkan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:03 AM