SAHARUL
SAHARUL

Pelik betul dengan sikap sombong artis baru terhadap artis lama ia seolah-olah menjadi amalan harian dalam industri.

Semakin lama semakin geram pula Cik Pang dengar mengenai sikap seperti itu.

Terbaru, dakwaan pelakon lelaki popular Saharul Ridzwan yang bersikap sombong dan bongkak dengan pelakon veteran.

Kata sumber yang bercerita, pelakon itu bukan saja tidak bertegur sapa, malah langsung tidak menunjukkan rasa hormat apabila pelakon veteran yang berpangkat Datuk itu kebetulan berjalan dan duduk di sebelahnya.

Nak kata pelakon veteran itu tak popular, rasanya sudah beratus drama dan puluhan filem dibintangi, mustahil Saharul tidak kenal langsung.

Sebagai orang muda, bukankah adat Melayu kena bertegur sapa dan hormat orang yang lebih berusia? Malah sudah tercatat dalam adab berbudi bahasa yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Sumber Cik Pang berkata, artis veteran itu tidaklah kemaruk sangat minta dihormati tapi sebagai orang yang lama makan garam, dia sendiri tidak pernah bersikap sombong dengan artis veteran sebelumnya dulu.

Kalau dibandingkan artis baru dulu, mereka sangat menghormati artis veteran dan andai ternampak dari jauh, mereka sanggup berlari untuk bertemu dan bersalam sebagai tanda hormat.

Jauh berbeza dengan artis zaman sekarang, walaupun duduk sebelah kerusi sekalipun, jangankan bersalam senyum pun sangat susah nak diberikan kepada artis veteran.

Apabila difikirkan semula, patutlah pengarah filem Mat Moto Otai, Ahmad Idham pernah bagi kenyataan yang pedih minggu lalu.

Tatkala ditanya teman Cik Pang kenapa tidak ambil pelakon baru popular menjadi tonggak utama filem terbaru, dia berkata, sebab pelakon baru popular tiada disiplin.

Cik Pang harap selain Saharul, pelakon lain yang sedang popular dan hangat di pasaran, jangan terlalu bangga dengan pencapaian sedia ada.

Kalau setakat satu dua drama TV yang meletup dan mempunyai pengikut laman sosial mencecah ratusan ribu atau jutaan, ia belum cukup membuktikan budi bahasa yang satu itu boleh diwarisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:05 AM