ANGGOTA polis berjaya menahan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satau operasi Ops Bersepadu PATI bersama pelbagai agensi lain, di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis berjaya menahan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satau operasi Ops Bersepadu PATI bersama pelbagai agensi lain, di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Norasikin Daineh


USAHA polis menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Kota Kinabalu tetap diteruskan walaupun hanya tiga tangkapan berjaya dilakukan dalam Ops Bersepadu PATI, pada Khamis lalu.

Operasi bermula 2 petang itu disertai oleh anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan pemantauan Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi selama tujuh jam itu dilakukan di empat lokasi sekitar Kota Kinabalu.

“Seramai 15 individu diperiksa, namun 12 daripadanya dibebaskan selepas pihak keluarga dan majikan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan menghantar kad pengenalan dan pasport asal mereka untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, tiga lagi adalah warga Filipina berusia antara 15 hingga 42 tahun terpaksa ditahan selepas didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Katanya lagi, tiga PATI berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imegresen 1959/63.

Terdahulu, Habibi berkata, tumpuan operasi itu adalah untuk mengekang kehadiran PATI kerana kadar pertumbuhan PATI turut mengundang terhadap kegiatan jenayah di Kota Kinabalu.

“Operasi ini berterusan di masa akan datang dan orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada pihak polis.

“Laporan maklumat juga boleh dimaklumkan melalui Facebook rasmi IPD Kota Kinabalu atau WhatsApp di talian 0192182729,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 10:56 AM