Sebahagian PATI Indonesia dihantar pulang ke negara mereka menggunakan pesawat Hercules C130 milik kerajaan Indonesia melalui pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang petang ini. FOTO Shahrul M Zain
Sebahagian PATI Indonesia dihantar pulang ke negara mereka menggunakan pesawat Hercules C130 milik kerajaan Indonesia melalui pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang petang ini. FOTO Shahrul M Zain
Oleh Suraya Roslan

Subang: Seramai 494 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di negara ini dihantar pulang ke negara mereka menggunakan lima pesawat Hercules C130 milik kerajaan Indonesia melalui pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, petang ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi berkata, penghantaran semua PATI itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Indonesia menggunakan pesawat tentera mereka.

"Keputusan menghantar pulang PATI Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah itu dibuat hasil rundingan diplomatik antara dua negara.

"Kita bersyukur kerana kerajaan Indonesia sangat membantu dalam kerjasama ini melalui Menteri Tenaga Kerja Indonesia sendiri yang menangani urusan penghantaran ini," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Katanya, semua PATI yang dihantar pulang harus melalui tempoh 'cooling period' selama tiga hingga enam bulan sebelum mereka berpeluang untuk kembali semula bekerja di Malaysia.

"Selama tempoh itu juga, pihak berkuasa akan melakukan ujian penapisan keselamatan serta proses dokumentasi ke atas warganegara yang terbabit dalam proses penghantaran pulang ini," katanya yang turut memaklumkan 209 lagi PATI warga Indonesia akan dihantar pulang menggunakan dua pesawat sama esok.

Pix Shahrul M Zain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 1:54 PM