IBU mangsa, Norrodiah Hitam, 44, masih terkejut dengan kehilangan anaknya, Muhammad Alif (foto kecil) di sungai.
IBU mangsa, Norrodiah Hitam, 44, masih terkejut dengan kehilangan anaknya, Muhammad Alif (foto kecil) di sungai.
Oleh Rosli Ilham

Dungun: Budak lelaki berusia 12 tahun dikhuatiri lemas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Kampung Wa, di sini, 1.30 petang hari ini.

Muhammad Alif Najmi dikatakan tenggelam di sungai itu selepas gagal mencapai kayu dihulurkan sepupunya, Muhammad Fakruldin, 10.

Ketika kejadian,mangsa yang menetap di Kampung Geliga, Kemaman, dikatakan datang bercuti ke rumah bapa saudaranya, Abu Hassan Samah, 56, di kampung terbabit, sejak semalam.

Mangsa dikatakan mengikuti sepupu dan 10 rakan yang lain mandi di sungai terbabit, pada 11 pagi.

Mangsa dikatakan hanyut ke tengah sungai berikutan arus yang kuat sebelum terkapai-kapai dan meminta tolong.

Sepupu dan rakan mangsa kemudiannya mencari kayu panjang untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal sebelum tenggelam.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Imran Ismail mengesahkan menerima laporan dan gerakan mencari mangsa sedang dijalankan.

Sehingga 7 malam tadi, mangsa masih belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 9:02 PM