Zaid Salim


Setiu: Pencarian tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang di muara sungai Kampung Mangkuk, di sini berakhir apabila ketiga-tiga mereka ditemukan lemas, pagi ini.

Mayat dua beradik, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, dan Muhammad Aryan Faheem, 7, ditemukan penduduk kampung yang melakukan pencarian, jam 2.30 pagi.

Mayat sepupunya, Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemukan di permukaan air kira-kira jam 8.15 pagi.

Sepupu mangsa, Nur Ilyasa Sofiea Mohd Hasry, 19, berkata, mayat ketiga-tiga sepupunya ditemui penduduk dan anggota penyelamat tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Saya bersyukur kerana semua mereka ditemui dalam masa yang singkat. Amni ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian, manakala adiknya, Aryan dikatakan ditemui pada jarak 1.5 kilometer.

"Nurulhasha ditemui terapung kira-kira enam meter dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

NURULHASHA Humaira (kiri),  dan adik beradik, Nur Amni Insyirah  dan Muhammad Aryan Faheem.
NURULHASHA Humaira (kiri), dan adik beradik, Nur Amni Insyirah dan Muhammad Aryan Faheem.

Berikutan penemuan itu, dia mewakili ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam operasi mencari tiga sepupunya itu.

Semalam, mangsa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika bermain air sambil mencari kepah di beting pasir berhampiran muara sungai kira-kira 50 meter dari tebing, jam 5.30 petang.

Mangsa bersama ahli keluarganya dikatakan ke lokasi berkenaan untuk berkelah sambil memancing di kawasan berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.

Berita berkaitan:

  • Anak tenggelam depan mata
  • Tiga kanak-kanak dihanyut arus ketika cari kepah
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 9:29 AM