PASUKAN mencari dan menyelamat meneruskan usaha mencari mangsa lemas. FOTO Rosli Ilham
PASUKAN mencari dan menyelamat meneruskan usaha mencari mangsa lemas. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi bersama sepupu dan seorang rakan mereka di Pantai Peranginan Kampung Teluk Bidara, di sini, petang semalam.

Mangsa, Syed Mustaffa Syed Mohammad Suhaimi dari Durian Burung, Kuala Terengganu dikatakan gagal diselamatkan sebelum tenggelam ke dasar laut, kira-kira 6.30 petang.

Mangsa bersama sepupunya Syed Ali Syed Alwi, 18, juga dari kampung sama dan rakan mereka Muhammad Jalaluddin Ali Hassan, 21, dari Kampung Sungai Buaya, di sini pergi ke pantai terbabit, kira-kira 6 petang.

Ketika kejadian, sepupu mangsa mandi di tengah laut manakala mangsa bersama rakannya mandi di tepi pantai terbabit sebelum kedua-dua mereka dihanyutkan arus dan menjerit meminta tolong.

Syed Ali yang terdengar jeritan terbabit segera berenang menghampiri mangsa namun gagal mencapai tangan mangsa berikutan ombak kuat sebelum mangsa tenggelam manakala rakan mereka yang turut dipukul ombak berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata, gerakan mencari serta menyelamat yang dijalankan bermula semalam masih gagal menemui mangsa hingga 11 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 12:17 PM