LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Rosli Ilham


Kemaman: Mayat Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya di Sungai Lubuk Tapeng, Air Putih, Kemaman, ditemukan pagi tadi.

Mayat ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 300 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam jam 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 7 pagi tadi membabitkan seramai 51 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Amal, polis bantuan dan penduduk kampung.

Menurutnya, pasukan operasi mencari dan menyelamat memperluaskan kawasan pencarian sekitar 500 meter dari tempat mangsa terjatuh.

"Mangsa dipercayai tenggelam di dasar sungai yang dianggarkan sedalam lima hingga tujuh meter.

"Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan kaedah kocakan air dengan menggunakan bot dan tindakan itu berhasil apabila mayat timbul di permukaan air," katanya.

Hanyan berkata, mayat dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian semalam, Mohd Mirwan cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang dihanyutkan arus ketika mandi di sungai terbabit, jam 1.45 tengah hari.

Mangsa dikatakan berenang mendapatkan anaknya itu namun tenggelam ke dasar sungai sementara anaknya itu selamat selepas berjaya berpaut pada dahan pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 1:17 PM