Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani habis-habisan gejala Mat Rempit yang dilihat sebagai musuh negara.

Pengerusinya, Datuk R Sri Sanjeevan, berkata golongan itu dilihat semakin melampau sehingga terbunuhnya anggota trafik yang dirempuh mat rempit ketika menjalankan Ops Roda di Kilometer 58, Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor Bahru.

Katanya, kejadian sebegitu tidak harus berulang dan pihak berkuasa perlu menangangi penularan aktiviti itu secara serius.

"Kami (MyWatch) bersimpati dengan kematian mendiang Inspektor Margaret Tagum Anak Goen,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis perlu mengheret individu menyebabkan kematian itu ke mahkamah dengan dikenakan hukuman berat.

"Ini bukan perkara main-main dan sudah ramai menjadi korban akibat mat rempit. PDRM perlu pastikan budaya mat rempit mencapai angka sifar dan tidak beri muka langsung kepada mereka terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 12:33 AM