PEMAIN Frenz United A, Muhammad Saddam (kiri) menghalang hantaran pemain Chonburi FC, Settawut Wongsai.
PEMAIN Frenz United A, Muhammad Saddam (kiri) menghalang hantaran pemain Chonburi FC, Settawut Wongsai.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Frenz United A berjaya mengukuhkan penguasaan dalam Kumpulan A, Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Bawah 18 tahun 2015 selepas menewaskan seteru utama Chonburi FC 2-0 di Stadium IPE, Chonburi, Thailand, kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan Frenz United A, berada di puncak liga kumpulan sekali gus memperkukuhkan kedudukan untuk mara ke perlawanan separuh akhir kejohanan itu.

Walaupun ditekan sorakan kira-kira 1,000 penyokong tempatan, konsentrasi Frenz United A tidak terganggu dan percaturan mereka menggunakan formasi 3-5-2 berjaya menundukkan Chonburi FC berbanding keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan di Melaka sebelum ini.

Malah pelawat dengan gandingan Aleksnder Kruytof dan Fridolin di barisan tengah lebih banyak menguasai bola termasuk menerusi gerakan pemain kelahiran Brazil, Ronald Santana yang sering melakukan larian dan hantaran mengelirukan lawan.

Frenz United A, akhirnya mendapat gol awal Aep Maulana pada minit ke-52 hasil gerakan cantik di tengah padang dengan gerakan satu dua Alexsander Kruytov - Ronald Santana. Santana kemudian menambah duka lawan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-92 masa tambahan.

Ketua Jurulatih Frenz United A, Erik Van De Meer berkata, dia berpuas hati dengan persembahan pasukan secara keseluruhan namun percaya anak buahnya perlu lebih yakin dan membuat keputusan yang betul dalam pertemuan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:07 AM