Teheran: Amerika Syarikat (AS) masih menjadi musuh nombor satu Iran walaupun satu perjanjian nuklear ditandatangani dengan beberapa kuasa besar dunia baru-baru ini, kata ketua Majlis Ulama semalam.

Majlis Ulama adalah institusi paling berpengaruh di Iran dan 86 ulama yang dilantik dalam organisasi itu mempunyai kuasa melantik dan memecat Pemimpin Agung Iran yang kini dipegang Ayatollah Mohammad Yazdi.

“Perjanjian nuklear tidak merubah dasar luar negara terhadap AS, musuh nombor satu kerana jenayahnya terlalu besar,” kata Mohammad ketika pembukaan mesyuarat Majlis Ulama.

“AS dan Israel adalah sumber kekacauan di rantau ini dan tujuan mereka melindungi rejim Zionis di Asia Barat,” katanya yang menyalahkan kedua-dua negara itu sebagai punca konflik di Syria, Iraq dan Yaman.

Presiden Iran, Hassan Rouhani yang juga anggota Majlis Ulama mula berkuasa pada 2013 dan cuba memulihkan hubungan dengan Barat.

Perjanjian yang ditandatangani pada 14 Julai lalu dengan enam kuasa dunia iaitu Britain, China, Perancis, Russia, AS dan Jerman sedikit sebanyak memulihkan hubungan Iran dengan negara Eropah.

Beberapa delegasi tinggi Eropah melawat Teheran sejak perjanjian berkenaan ditandatangani.

Walaupun dengan rundingan nuklear dan peranan Setiausaha Negara AS John Kerry untuk merealisasikan perjanjian berkenaan, tiada harapan kedua-dua negara berkenaan akan berdamai.

Kedua-dua negara itu memutuskan hubungan diplomatik pada 1980 apabila kumpulan Islam menyerbu kedutaan AS di Teheran dan menjadikan diplomatnya tebusan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 11:07 AM