SEORANG lelaki membaca akhbar yang menyiarkan berita kemenangan kumpulan pro-Presiden Hassan dan bekas Presiden Akbar Hashemi Rafsanjani di Teheran, semalam.
SEORANG lelaki membaca akhbar yang menyiarkan berita kemenangan kumpulan pro-Presiden Hassan dan bekas Presiden Akbar Hashemi Rafsanjani di Teheran, semalam.

Teheran: Kumpulan sederhana memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya Parlimen dan Dewan Ulama yang berkuasa memilih pemimpin tertinggi Iran yang baru.

Keputusan itu dianggap tamparan hebat kepada kumpulan konservatif, dalam pilihan raya pertama diadakan sejak Teheran menandatangani perjanjian nuklear dengan negara kuasa besar dunia.

Keputusan terbaru yang disiarkan Kementerian Dalam Negeri menunjukkan kumpulan reformis yang menyokong kebebasan sosial dan hubungan dengan Barat, memenangi sekurangnya 85 kerusi.

Konservatif sederhana yang turut menyokong perjanjian nuklear memenangi 73 kerusi sekali gus memberikan dua kem itu majoriti daripada 290 kerusi Parlimen.

Kumpulan konservatif yang menentang perjanjian itu memenangi 68 kerusi, jatuh mendadak berbanding 100 kerusi yang mereka kuasai sebelum ini.

Lima kerusi diberi kepada kumpulan agama minoriti dan baki 59 lagi bakal dilakukan pengundian semula kemungkinan April ini kerana tiada pemenang mutlak.

Kumpulan sederhana juga memenangi 59 peratus majoriti di Dewan Ulama, yang mempunyai 88 anggota bagi memilih pengganti pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang dilantik sejak 1989.

Presiden Hassan Rouhani dan bekas Presiden Akbar Hashemi Rafsanjani, yang kedua-duanya berfahaman sederhana berjaya mengekalkan kerusi mereka di dewan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 6:59 AM