SULAIMAN (depan) bersama pelatih Akademi Tunas KMY.
SULAIMAN (depan) bersama pelatih Akademi Tunas KMY.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Sungai Petani: Bersandarkan objektif melahirkan tunas pemain berkaliber, Akademi Tunas (AT) bola sepak daerah Kuala Muda/Yan (KMY) giat mengembangkan bakat murid seawal usia tujuh tahun.

AT di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) mendapat kerjasama empat organisasi iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Penyelaras yang juga jurulatih daerah KMY, Sulaiman Husain berkata, seramai 36 pelatih yang berbakat seluruh KMY dihimpunkan dan mereka menjalani latihan setiap hari di SK Sungai Layar.

“Latihan diadakan untuk memantapkan pasukan dan memperkemas posisi pemain bagi menghadapi karnival AT yang bakal diadakan di Alor Setar pada 12 September ini.

“KMY mengambil inisiatif menyertai karnival berkenaan yang juga akan disertai AT lain seluruh Kedah, termasuk pasukan jemputan bagi membiasakan pelatih dengan pertandingan yang memerlukan komitmen tinggi,” katanya.

Sulaiman yang juga guru SMK Teluk Bayu berkata, AT KMY diharap dapat menyediakan tunas pemain yang berbakat dalam sukan bola sepak pada masa depan bagi keuntungan jangka masa panjang.

“Pelatih yang dibentuk seawal usia tujuh tahun lebih bersedia menerima pengajaran bagi memudahkan pembentukan ke arah seorang pemain yang berdaya saing dan berdisiplin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:11 AM