PKGSL puas hati bergelar naib juara daerah KMY PSKPPK.
PKGSL puas hati bergelar naib juara daerah KMY PSKPPK.

Sungai Petani: Menghuni tangga kedua di daerah Kuala Muda/Yan (KMY) sudah cukup memberi kepuasan kepada pasukan senior Pusat Kegiatan Guru Sungai Layar (PKGSL) sebaik tamat Kejohanan Karnival Bola sepak Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan Kedah (PSKPPK), di sini, baru-baru ini.

Beraksi di padang Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (IPSAH), pencapaian itu dikira terbaik selepas gagal menampilkan pasukan dalam final sejak beberapa tahun lalu bagi penentuan jaguh KMY.

Pengurus PKGSL, Mohd Fuad Saad berkata, walaupun gagal bergelar juara pengurusan tetap berbangga kerana peningkatan dipamerkan pemainnya.

“Juara bukan semata-mata ditentukan melalui menjulang piala tapi juga semangat ditunjukkan pemain dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Inilah yang dilakukan pemain SMKB walaupun terpaksa beraksi dengan jumlah pemain yang terhad dan berdepan pula pasukan handalan lain,” katanya.

PKGSL mengakhiri cabaran peringkat kumpulan selaku juara selepas menang tipis 1-0 ke atas semua pesaingnya iaitu PKG Kota Kuala Muda, PKG Gurun dan pasukan tuan rumah, IPSAH.

Peringkat separuh akhir mereka nyaris dikalahkan PKG Yan namun dorongan semangat luar biasa menjadikan pemain kental melawan sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0.

Momentum itu diteruskan mereka apabila melayan pencabar final yang pernah ditewaskan di peringkat kumpulan, PKG Kota Kuala Muda dan hasilnya mereka berjaya mengikat keputusan 0-0 dalam permainan penuh masa namun terpaksa akur dengan nasib selepas tewas melalui penentuan penalti 4-5.

Hadir merasmikan penutupan PSKPPK Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Mohamad Jamil Md Noh diiringi Pegawai Pendidikan KMY, Badrunsham Dahalan dan Timbalannya, Shaari Ismail serta Penyelia Kanan Sukan KMY, Zainol Hasshim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:04 AM