Oleh Fauzi Rahim Mustafa


Sungai Petani: Skuad bawah 12 tahun lelaki Sekolah Kebangsaan Seri Gedong (SKSG) terpaksa melepaskan status juara dimenangi tahun lalu selepas gagal menjuarai Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) Daerah Kuala Muda/Yan (KMY) 2014, baru-baru ini.

Biarpun menampilkan barisan pemain mantap ketika bersaing di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), SKSG pimpinan Yassin Ismail kecewa tewas tipis pada perlawanan akhir.

Tidak hairan apabila beberapa pemainnya dilihat menangis sebaik saja wisel penamat ditiup sekali gus menoktahkan kekalahan 1-2 kepada lawan final, SK Bandar Baru Sungai Lalang.

“Selepas menampilkan formasi mantap di peringkat awal hingga separuh akhir, kami agak longgar di final. Faktor keletihan mungkin menjadi antara sebab pemain gagal menunjukkan prestasi sebenar.

“Mereka sudah berusaha malah banyak memburu gol di minit akhir, namun strategi lawan mempertahankan gawang menafikan sebarang jaringan daripada pemain SKSG,” katanya yang turut dibantu Mohd Noor Saad,

Pada peringkat awal, SKSG mengalahkan SK Kem Lapangan Terbang 4-0 dan SK Ambangan Heights 1-0 sebelum menang di suku akhir menewaskan SK Sungai Lalang 4-0.

Mereka menewaskan pasukan pilihan SK Convent Father Barre 3-0 di separuh akhir.

“Kami gagal mengekalkan piala KMY, namun pada masa sama bangga apabila tetap memahat nama selaku kuasa hoki KMY dalam kalangan lebih 20 sekolah mengambil bahagian,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:02 AM