Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Yan: Pasukan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Petani terus mendominasi status juara untuk tahun ke-16 berturut-turut dalam Kejohanan Sepak Takraw Daerah Kuala Muda/Yan (KMY) 2015, berakhir di SMK Dulang, baru-baru ini.

Bukan itu saja, PKG Sungai Petani turut tiada tandingan dalam kategori regu apabila mencatat rekod seiring pasukan selepas membenam lawan mereka satu demi satu.

Kegerunan pesaing mereka dalam kategori berpasukan dapat dilihat sejak pusingan awal apabila PKG Sungai Petani langsung tidak bermasalah mengetepikan lawan PKG Bujang, PKG Gurun dan PKG Kota Kuala Muda 3-0.

Momentum kecemerlangan itu diteruskan di separuh akhir dengan menewaskan PKG Sungai Limau 2-0 sebelum turut mencatat keputusan serupa ke atas lawan final, PKG Bujang, pasukan yang pernah dikalahkan di peringkat awal.

Manakala bagi kategori regu PKG Sungai Petani yang menghantar dua skuad cemerlang melalui regu A yang dibarisi Muhammad Hushahzuan Hussain, Muhammad Amar Roslan, Muhammad Azib Mohamad Zu.

Trio berkenaan berjaya menafikan tentangan regu PKG Bukit Selambau A dengan kemenangan set 2-0 (21-13/21-10) dalam saingan pertama sebelum melebarkan penguasaan di perlawanan kedua membenam regu PKG Bujang B juga 2-0 (21-11/21-14).

Jurulatihnya yang juga guru SK Sungai Pasir, Rosli Abu, dibantu rakan sejawatan Khairul Izzat Ismail, Mohd Noor Saad dan Ahmad Nor Mahmud, berkata pemainnya membuktikan persediaan awal untuk kejohanan besar sedemikian merealisasikan sasaran.

“Bukan mudah menggenggam status juara dalam jangka masa lama dan kerana itu setiap tahun pengurusan pasukan berusaha keras menghasilkan bakat baru pemain sepak takraw.

“Ini dilakukan agar PKG Sungai Petani tidak ketandusan pemain berbakat dan mereka yang terpilih menjalani latihan kemahiran secara bersistematik. Ia mungkin antara faktor PKG Sungai Petani berjaya mengekalkan kejuaraan dimiliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:26 AM