SKUAD futsal SMKPJ pamer aksi cemerlang.
SKUAD futsal SMKPJ pamer aksi cemerlang.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Sungai Petani: Skuad futsal SMK Pekula Jaya (SMKPJ) kembali bergelar juara Karnival Sukan Guru-Guru Sekolah Menengah (KAGUM) daerah Kuala Muda/Yan (KMY) 2015 selepas menumpaskan juara bertahan, SMK Kota Kuala Muda pada aksi final di Gelanggang Northen Futsal, baru-baru ini.

Mereka menewaskan lawan kental itu 1-0 hasil jaringan pengurus yang juga kapten Abdul Ghani Hassan sekali gus dinobat wira SMKPJ hingga membolehkan sekolah itu mengulangi pencapaian 2012 dan 2013.

SMKPJ yang dilabel skuad pilihan melakukan penampilan awal dengan menewaskan semua pencabarnya, SMK Bakar Arang 4-2, SMK Aman Jaya 4-1 dan SMK Pinang Tunggal 3-1.

Berada pada tahap paling cemerlang, mereka tampil di pusingan kedua dengan lebih mantap dan menjadikan SMK Teluk Bayu mangsa belasahan selepas bertubi-tubi mengasak pintu gol lawan untuk memang besar 7-1.

Bagaimanapun, ego SMKPJ tercabar ketika aksi separuh akhir apabila hanya mampu seri 5-5 dengan Kolej Vokasional Sungai Petani 1 (KVSP 1) namun berasa lega selepas layak ke final berdasarkan jumlah jaringan dan mata diraih sepanjang saingan.

“Mengetahui bakal bertemu penyandang juara di final, kami mula serius terhadap permainan dan mengelak bermain secara santai ketika menerima tentangan sengit KVSP 1.

“Pintu gol kami hampir dibocori sekurang-kurangnya lima kali namun ketenangan dan fokus terhadap posisi masing-masing berjaya menyerap tekanan dan menang,” kata Abdul Ghani.

Katanya, SMKPJ puas meraih juara futsal KAGUM selepas terlepas gelaran itu tahun lalu dan status berkenaan menguatkan azam mereka mempertahankannya.

Menurutnya, bakat bermain futsal di kalangan guru-guru seluruh KMY meningkat dari tahun ke tahun dan ia memberi petanda saingan tahun depan akan lebih sengit.

“Kami akan terus memantapkan pasukan hasil gabungan guru senior dan juga veteran bertujuan mengekalkan gelaran juara futsal KAGUM di SMKPJ sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:42 AM