Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (Johor DT) tampak bakal berdepan tentangan sengit apabila diundi dalam Kumpulan B saingan Piala Malaysia yang bermula 11 September ini.

Malah pemain tengah Johor DT, Gary Steven Robbat mengakui betapa Perak, Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak harus dipandang rendah tatkala ketiga-tiga pasukan mampu mampu menggugat peluang Johor DT memburu slot suku akhir.

Apapun bagi Gary, penampilan pertama pada saingan piala berprestij itu amat dinantikan tatkala mahu merasai sendiri kehangatan kancah piala tertua itu yang menjadi idaman kesemua pasukan bersaing dalam saingan itu.

“Kita tahu Piala Malaysia adalah saingan cukup berprestij dan saya amat bertuah apabila dapat merasai kehangatan kempen itu. Memang saya mengimpikan kejuaraan berganda selepas kami menjuarai Liga Super buat kali kedua berturut-turut.

“Di sebalik kejayaan itu, saya menganggap kekuatan ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan B cukup seimbang walaupun bakal berdepan tentangan sengit Sarawak, Perak dan ATM.

“Saya perlu bekerja keras untuk berada dalam kesebelasan utama kerana Johor DT dibarisi ramai pemain baik dan jika gagal mempamerkan kesungguhan pada sesi latihan sudah pasti nama saya akan tercicir,” katanya.

Bagaimanapun dia menegaskan Johor DT bukan saja perlu bersaing pada saingan piala berprestij malah perlu membuat persiapan rapi berdepan South China FC pada suku akhir kedua di Stadium Mong Kok, Hong Kong, 15 September ini.

Katanya, kemenangan aksi pertama saingan Piala Malaysia nanti amat penting untuk memberi motivasi kepada semua pemain dalam skuad Johor DT mengharungi kempen itu.

“Jadual perlawanan Piala Malaysia begitu singkat dan kita tidak boleh hilang mata kerana pernah tewas kepada Perak ketika saingan liga selain menang ke atas Sarawak dan ATM.

“Berdepan dengan ketiga-tiga pasukan kali ini pasti berbeza. Saya serta rakan sepasukan perlu berwaspada dengan mereka,” kata Gary.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:09 AM