ASRARUDDIN (kanan) alami kecederaan.
ASRARUDDIN (kanan) alami kecederaan.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Aksi pembuka tirai kempen Piala Malaysia menyaksikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang muncul naib juara musim lalu terpaksa melakukan rombakan kecil apabila berdepan Perak pada saingan Kumpulan B di Stadium Larkin, malam ini.

Pengendali Johor DT, Mario Gomez menegaskan kemungkinan Asraruddin Putra Omar tidak dapat beraksi pada perlawanan pertama selepas mengalami kecederaan dan posisi bek kiri akan diisi pemain lain.

Katanya, Perak pasukan kuat dan pemain Johor DT perlu berwaspada dengan corak permainan berbeza yang bakal ditampilkan selepas skuad itu dibimbing jurulatih baru Vjeran Simunic.

“Saya tidak kenal jurulatih itu (Simunic) dan mungkin Perak akan beraksi dengan taktikal berbeza walaupun pasukan itu dibarisi pemain sama, tapi kita kena berwaspada.

“Walaupun kita pernah menang 4-1 ke atas Perak, saya anggap itu sudah berlalu dan saingan piala berprestij amat kompetitif dan saya kena merancang taktikal yang lebih ampuh.

“Apapun, pemain Johor DT perlu kuatkan mental dan beraksi tanpa tekanan. Malah, paling mustahak beraksi mengikut taktikal dirancang dan tidak membuat kesilapan mudah,” katanya.

Gomez juga menegaskan dia akan membariskan beberapa pemain yang jarang diturunkan pada saingan liga kerana Johor DT memiliki barisan pemain simpanan yang setanding dengan pemain utama.

Katanya, kekuatan Johor DT adalah semangat bekerjasama dan sentiasa memberi komitmen melebihi 100 peratus dengan senario itu memberi kelebihan untuk muncul juara Liga Super dua musim berturut-turut.

Namun, beliau tidak mahu pemain Johor DT terlalu ghairah mengejar kemenangan pada saingan piala tertua itu sebaliknya mengingatkan pemain supaya beraksi konsisten dan mengharungi satu perlawanan ke perlawanan seterusnya.

“Memang kita mahu menang, tetapi tidak boleh terlalu yakin, malah perlu harungi satu perlawanan ke satu perlawanan dan sentiasa memberi persembahan terbaik apabila beraksi di padang.

“Apa yang mahu saya tekankan kepada pemain supaya tetap menghormati pasukan lawan, malah saya sendiri anggap bukan saja Perak sebaliknya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak dibarisi pemain mantap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:32 AM