NAZRIN (kanan) minta rakan supaya jangan ambil mudah aksi lawan.
NAZRIN (kanan) minta rakan supaya jangan ambil mudah aksi lawan.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Keinginan untuk menjulang Piala Malaysia buat kali pertama amat diidamkan oleh Mohd Nazrin Nawi yang berazam mempamerkan aksi terbaik sepanjang saingan Kumpulan B Piala Malaysia, bermula Jumaat ini.

Malah pemain sayap kiri skuad Harimau Selatan itu belum pernah mengecapi kejayaan untuk memeluk piala berprestij itu sepanjang pembabitan dalam karier bola sepaknya.

Walaupun berpeluang ketika Johor Darul Ta’zim (Johor DT) layak ke final musim lalu, hasrat itu disekat Pahang selepas tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti.

“Kami terlepas peluang membawa pulang piala berprestij itu musim lalu dan ia peluang kedua untuk bangkit daripada kekecewaan itu namun saya akui laluan agak berliku kerana berdepan Perak, Tentera dan Sarawak.

“Saya tidak pernah menjulang piala berprestij itu malah memasang impian untuk menjulang piala itu buat julung kali dalam karier sebagai pemain malah saya berazam untuk meningkatkan lagi corak permainan.

“Kami sedar saingan Piala Malaysia amat dinantikan oleh semua pasukan dan kami tidak boleh lepaskan peluang untuk mengulangi kejayaan melangkah ke pentas final walaupun laluan sukar,” katanya.

Bagi Nazrin, aksi pertama menentang Perak menjadi ujian penting buat Johor DT dan tidak mahu mengambil sikap mudah biarpun pernah menewaskan skuad itu 4-1 pada saingan liga.

Tegasnya, corak permainan berhati-hati dan tidak membuat kesilapan amat penting bagi memastikan Johor DT tidak terperangkap dengan aksi skuad The Bos Gaurus yang memiliki barisan pemain muda dan pemain import berkualiti.

“Kena beraksi lebih 100 peratus jika mahu mengekalkan momentum untuk memburu tiga mata pada setiap perlawanan yang diharungi dan kami tidak boleh bersikap sambil lewa bagi memastikan Johor DT menang.

“Sama ada saya diturunkan pada aksi perlawanan pertama, saya serahkan kepada ketua jurulatih, Mario Gomez untuk mengatur perancangan taktikal dan saya perlu sentiasa bersedia jika diarah turun beraksi,” ujar Nazrin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 8:52 AM