THIAGO (kiri) alami kecederaan hamstring.
THIAGO (kiri) alami kecederaan hamstring.
Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih FELDA United Irfan Bakti Abu Salim berharap penyerang import Brazil Thiago Augusto Fernandes dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula bulan depan.

Irfan Bakti berkata, khidmat penyerang itu sangat diperlukan bagi menggapai misi mereka menjuarai Piala Malaysia selepas gagal memenangi Piala FA dan Liga Super musim ini.

“Saya memang menaruh harapan tinggi kepada Thiago apabila membelinya untuk menggantikan Junior Wilson, April lalu. Walaupun ramai mempertikaikan tindakan menggugurkan Wilson tapi saya tetap yakin dengan keputusan itu.

“Saya pernah menyaksikan permainan Thiago ketika mewakili kelab Manama dalam Liga Bahrain dan terpikat dengan ketangkasannya di depan gol. Dia seorang penjaring gol tulen yang mampu menghidu dan menyempurnakan peluang walau dalam apa keadaan sekali pun.

“Rekodnya sebagai penjaring terbanyak liga negara itu dengan 17 gol musim lalu adalah buktinya. Malah, sebelum menyertai FELDA, dia penjaring terbanyak kelab Manama musim ini dengan 14 gol.

“Tapi, sayang, dia mengalami kecederaan selepas hanya tiga perlawanan bersama kami. Ini merencatkan misi kami untuk menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga Liga Super. Jadi, saya sangat berharap dia akan pulih sepenuhnya untuk menghadapi Piala Malaysia.

“Kami sudah terlepas Piala FA dan Liga Super, saya tidak mahu FELDA mengakhiri musim ini dengan tangan kosong. Oleh itu Piala Malaysia menjadi sasaran kami dan saya yakin jika Thiago cergas dan boleh bermain, kami akan menjadi pencabar utama,” kata Irfan Bakti.

Oleh itu, Irfan Bakti sudah mengarahkan Thiago pulang untuk mendapat rawatan di negara asalnya sebaik saja saingan Liga Super tamat minggu lalu. Sepanjang mewakili FELDA, penyerang itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, dia masih sempat menjaringkan lima gol, dua antaranya adalah ketika seri 2-2 dengan Pahang di Stadium Darulmakmur.

The Fighters hanya menduduki tangga kelima Liga Super dan tersingkir di pusingan kedua Piala FA selepas kalah 2-4 melalui tendangan penalti kepada Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:15 AM