Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Penyerang FELDA United Francis Forkey Doe tidak pernah berasa tergugat dengan kelibat Thiago Augusto Fernandes walaupun pemain dari Brazil itu sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia merebut semula tempat dalam pasukan.

Malah Doe tidak mengambil pusing mengenai spekulasi Thiago akan mengambil semula posisi di barisan serangan yang mungkin memaksa FELDA memendekkan khidmatnya.

“Saya tidak pernah memikirkan hal ini apatah lagi hendak rasa tergugat dengan kehadiran semula Thiago. Saya tahu sejauh mana kemampuan dan yakin dengan diri sendiri.

“Apa yang saya lakukan hanya tumpukan kepada permainan, selebihnya saya serahkan kepada penilaian jurulatih dan pengurusan. Jika mereka mahu meneruskan khidmat sehingga akhir musim, saya bersedia. Jika sebaliknya, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Tapi adalah tidak adil untuk membandingkan saya dengan Thiago kerana masing-masing mempunyai kelebihan sendiri. Rasanya saya tidak perlu bercakap banyak mengenai kemampuan sendiri sebab sudah buktikannya di padang,” ujar Doe.

Penyerang Liberia itu boleh dianggap sebagai ‘bidan terjun’ apabila FELDA terpaksa menyenaraikan dia pada saat akhir sebelum bermula musim 2016 akibat kecederaan dialami Thiago.

Ramai melihat Doe sebagai pelengkap pasukan sementara menanti Thiago pulih namun, tetapi dia membuktikan kewibawaannya apabila kini mengungguli senarai penjaring terbanyak, berkongsi bersama penyerang Johor Darul Ta’zim, Juan Martin Lucero dengan 10 gol.

Hal ini mencetuskan dilema kepada jurulatih FELDA Irfan Bakti Abu Salim yang sukar membuat keputusan mengenai kedudukan Thiago.

Apatah lagi, selain Doe, tiga lagi pemain import, Zah Rahan Krangar, Lutfulla Tuarev dan Gilberto Carlos juga menunjukkan prestasi cemerlang sehingga meletakkan pasukan itu pada kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Malah, Irfan ketika dihubungi Arena Metro semalam memberitahu masih mempertimbangkan buruk baik jika dia menyenaraikan semula Thiago dalam pasukan bagi menghadapi baki pertandingan.

“Saya kena berhati-hati dan tidak boleh terburu-buru kerana silap percaturan, buruk padahnya. Saya yakin Thiago mampu menambah sengat di barisan serangan jika digandingkan bersama Doe tapi pada masa yang sama tidak guna juga jika pintu gol kami kerap bolos,” ujarnya.

Kata-kata Irfan itu seolah-olah membayangkan beliau terpaksa mengorbankan pemain pertahanan dari Brazil, Gilberto jika mahu memberi laluan kepada Thiago, sesuatu yang dilihat sebagai berisiko tinggi.

“Jadi, saya akan tunggu sehingga saat terakhir sebelum pintu perpindahan ditutup. Setakat ini apa yang pasti ialah beberapa pemain tempatan yang masih mempunyai kontrak akan dipinjamkan kepada pasukan lain,” kata jurulatih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 9:30 AM