Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Baru buka mulut sudah ada yang berminat. Itulah situasi yang dilalui pengurusan FELDA United ekoran kenyataan jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim yang memberitahu akan meminjamkan penyerang Thiago Augusto Fernandes (gambar) kepada kelab lain jika tidak mempunyai tempat dalam pasukan itu.

Perkara itu diakui Irfan sendiri dan menurutnya empat pasukan Liga Super sudah menunjukkan minat terhadap penyerang dari Brazil itu.

“Itu baru saya buka mulut, belum lagi dibuat pengumuman secara rasmi. Setakat ini saya boleh sahkan empat pasukan sudah menunjukkan minat terhadap Thiago.

“Tapi, saya tidak boleh dedahkan nama empat pasukan itu demi menghormati mereka, cuma yang boleh saya sahkan mereka pasukan Liga Super,” ujar Irfan.

Menurut jurulatih itu, beliau tidak terkejut dengan minat yang ditunjukkan terhadap Thiago kerana penyerang itu memang sudah terbukti kemampuannya ketika mewakili FELDA musim lalu walaupun kerap dilanda kecederaan.

“Apatah lagi empat pasukan ini sedang menghadapi masalah di barisan serangan. Saya yakin jika Thiago menjadi milik mereka, masalah itu akan dapat mereka atasi.

“Tapi FELDA belum bersedia membuka pintu rundingan kerana kami sendiri tidak akan membuat keputusan terburu-buru kerana banyak faktor perlu diambil kira. Lagipun pintu perpindahan hanya akan dibuka bulan depan dan kami masih mempunyai dua perlawanan pusingan pertama untuk diharungi.

“Saya mahu lihat prestasi FELDA dan keempat-empat pemain import dalam baki perlawanan ini sebelum membuat keputusan rasmi mengenai kedudukan Thiago.”

Arena Metro baru-baru ini melaporkan Irfan kini dalam dilema memikirkan kedudukan Thiago bersama FELDA selepas pemain itu pulih daripada kecederaan. Ini kerana jika mahu menyerapkan penyerang itu, beliau perlu menggugurkan salah seorang pemain import.

Ia sesuatu yang sukar memandangkan keempat-empat pemain itu, Francis Forkey Doe, Zah Rahan Krangar, Lutfulla Tuarev dan Gilberto Carlos Marangino menunjukkan prestasi yang cemerlang membantu FELDA berada di puncak liga ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:59 AM