WILSON (tengah) gagal pamer aksi konsisten.
WILSON (tengah) gagal pamer aksi konsisten.

Kuala Lumpur: Penyerang FELDA United Edward Junior Wilson berdepan kemungkinan disingkirkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) walaupun muncul wira The Fighters untuk menewaskan PDRM 3-2 malam kelmarin.

Pengendali Irfan Bakti Abu Salim terbang ke Timur Tengah beberapa hari lalu untuk menyaksikan kelibat seorang pemain yang melonjakkan kelab diwakilinya berada di puncak liga.

“Secara kebetulan pemain berkenaan menjaringkan gol namun sebenarnya kita masih belum membuat keputusan sama ada menggantikan Wilson atau sebaliknya. Wilson mempunyai satu atau dua perlawanan lagi untuk buktikan dirinya sudah kembali pada tahap sebenar.

“Pasukan lain berlumba-lumba mahukan kejayaan, begitu juga saya. Kita membayarnya dengan harga yang mahal, jadi dia perlu menjaringkan gol,” kata Irfan mengenai penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu.

Sementara itu penyerang berusia 30 tahun berkenaan berharap khidmatnya dikekalkan dengan menjelaskan dia sudah memberikan yang terbaik kepada pasukan.

Kejayaan menewaskan PDRM membolehkan FELDA United berkongsi kedudukan bersama Selangor dan Terengganu dengan terikat 14 mata namun dibeza jumlah jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 7:30 AM