Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Thiago Augusto Fernandes (gambar) mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai kedudukannya dalam FELDA United dan hanya akan membuat langkah susulan selepas pasukan itu memberi kata putus.

Penyerang import dari Brazil itu berkata buat masa ini dia sendiri tidak pasti mengenai masa depannya bersama The Fighters kerana belum ada sebarang perbincangan dibuat antara kedua-dua pihak.

“Apa yang pasti saya masih pemain FELDA kerana mempunyai kontrak sehingga hujung musim. Tapi, sama ada akan didaftarkan ke dalam skuad Liga Malaysia, saya sendiri tidak dapat memberi jawapan.

“Saya tidak berani membuka mulut kerana sehingga sekarang tiada sebarang perbincangan. Baik jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) mahupun pengurusan FELDA tidak pernah berkata apa-apa kepada saya,” ujar Thiago.

Arena Metro semalam melaporkan Irfan masih berada dalam dilema untuk membuat keputusan sama ada menyerapkan penyerang itu ke dalam pasukan atau mengekalkan keempat-empat import sedia ada.

Ini kerana Francis Forkey Doe yang pada awalnya dianggap pengganti sementara Thiago, ternyata menyerlah bersama FELDA apabila muncul penjaring terbanyak Liga Super setakat ini dengan 10 gol.

Begitu juga, Lutfulla Tuarev, Zah Rahan Krangar dan Gilberto Carlos yang menjadi tulang belakang pasukan.

Irfan pernah memberitahu akan meminjamkan Thiago kepada pasukan lain sebagai jalan keluar kepada permasalahan itu. Malah, beliau mengesahkan beberapa pasukan sudah menunjukkan minat terhadap pemain itu.

Namun, Thiago apabila ditanya mengenai kemungkinan itu menganggap adalah tidak adil untuk dia memberi komen selagi ia bersifat spekulasi.

“Saya hanya mengetahui pelbagai spekulasi mengenai diri saya melalui akhbar. Jadi, tidak adil untuk membuat komen mengenai hal itu. Saya hanya boleh membuat kenyataan jika sudah ada hitam putih daripada FELDA.

“Jadi, buat masa ini saya mengambil sikap tunggu dan lihat. Saya tidak mahu terlalu memikirkannya dan hanya menjalani latihan seperti biasa.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya sudah pulih 100 peratus daripada kecederaan dan bersedia untuk kembali beraksi,” kata Thiago.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:15 AM