Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain badminton negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui ia bukan masa yang sesuai untuk meninggalkan badan induk itu untuk menjadi pemain bebas.

Menurut pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei, apa yang diutarakan oleh Pengurus Besar BAM, Kenny Goh kelmarin memang ada benarnya tambahan pula dengan masalah kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia (RM) sekarang.

“Keadaan ekonomi sekarang memang tidak bagus, saya rasa pemain yang keluar dari BAM dalam masa terdekat sukar untuk mencari penaja,” katanya ketika ditemui Arena Metro selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Bagaimanapun, Khe Wei mengakui jika seseorang pemain mampu menunjukkan prestasi cemerlang, ia mungkin tidak berdepan masalah untuk mencari penaja.

“Saya juga gembira mendapat tahu pakej ganjaran dan elaun pemain dicadang akan dinaikkan, ia memang amat baik sekali bukan saja kepada pemain remaja, malah membantu pemain senior seperti kami.

“Ia akan meningkatkan semangat kami untuk beraksi sebaik mungkin dalam kejohanan yang disertai pada masa akan datang,” katanya yang berpasangan bersama Vivian Hoo.

Sementara itu, pemain beregu lelaki, Tan Wee Kiong mengakui tidak memikirkan soal penajaan ataupun elaun dinaikkan kerana fokus utamanya tahun ini adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Setakat ini bagi saya semua proses latihan berjalan lancar tetapi bukannya tiada masalah langsung, cuma saya harap ia tidak mengganggu fokus kami.

“Jika elaun dinaikkan ia satu perkara yang baik cuma saya belum mendapat maklumat lanjut mengenai perkara ini. Memang sekarang ini sukar untuk mencari penaja di luar,” katanya yang berpasangan bersama Goh V Shem.

Kelmarin, Kenny mengakui dalam masa terdekat tidak akan ada pemain yang bernaung di bawah BAM akan keluar meninggalkan badan induk berkenaan berikutan keadaan ekonomi negara tidak menentu seterusnya berdepan kesukaran mendapat penajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:32 AM