PEMAIN di bawah naungan BAM akan terima elaun antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.
PEMAIN di bawah naungan BAM akan terima elaun antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yakin tidak akan ada lagi pemain meninggalkan badan induk itu.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata, dengan keadaan ekonomi negara tidak menentu adalah risiko besar jika ada pemain yang mahu keluar.

“Mereka yang mengambil keputusan meninggalkan BAM sudah pasti berdepan kesukaran untuk mencari penaja,” katanya.

Jelasnya, ia bukan masa terbaik dan tidak bijak buat pemain meninggalkan BAM.

“Kami sudah melakukan beberapa perubahan terutama dari segi pakej ganjaran dan membenarkan pemain mencari penaja mereka sendiri.

“Kami membuka peluang berkenaan dan ia dilihat agak sukar untuk mereka mencari penaja, bayangkan jika mereka berada di luar BAM,” katanya.

Kenny juga mengakui perseorangan lelaki utama negara, Datuk Lee Chong Wei yang mempunyai banyak tajaan memberitahunya sekarang sukar untuk mengadakan rundingan dengan syarikat luar.

“Bayangkan pemain utama seperti Chong Wei juga merasai keperitan itu, maknanya pemain lain lagi sukar,” katanya.

BAM bulan lalu meluluskan cadangan menaikkan elaun pemain, di mana mereka akan menerima antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.

Ujar Kenny, BAM sudah bertemu dengan pemain dan berharap mereka menandatangani kontrak baru pada 1 September ini.

Dalam pada itu, Kenny masih belum membuat keputusan untuk menerima tawaran Konfederasi Badminton Asia (BAC) sebagai jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Saya memang ditawarkan jawatan itu tetapi masih belum membuat sebarang keputusan... saya masih lagi berbincang antara BAC dan BAM,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:50 AM