Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei (gambar) mengakui berasa sedikit sedih apabila namanya tidak disenaraikan dalam Program Podium yang dilancarkan kelmarin.

Bagaimanapun, sebagai pemain profesional dia menganggap ia bukan satu masalah besar atau memberi kesan mendalam terhadap kariernya yang baru hendak bermula menjadi antara jaguh dunia.

“Memang terasa sedikit sedih kerana sebelum ini BAM (Persatuan Badminton Malaysia) memberitahu saya disenaraikan, tapi saya terima keputusan ini kerana fokus utama untuk program ini adalah bagi mereka yang akan beraksi di Olimpik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam majlis pelancaran kelmarin hanya tujuh pemain badminton negara disenaraikan - Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

September lalu, BAM menyenaraikan juara remaja dunia itu, namun atas disebabkan beberapa kriteria, namanya tidak ternarai dan badan induk itu membayangkan Jin Wei masih berpeluang berada dalam program berkenaan pada masa akan datang.

“Saya yakin BAM akan merancang yang terbaik buat saya dan sudah pasti ada sebab tertentu kenapa saya tidak disenaraikan,” kata pemain berusia 16 tahun itu yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:33 AM