ANGGOTA pasukan penyelamat mencari pelombong dan keluarga mereka yang dikatakan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Benguet, utara Filipina, semalam.
ANGGOTA pasukan penyelamat mencari pelombong dan keluarga mereka yang dikatakan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Benguet, utara Filipina, semalam.

Manila: Tentera Filipina semalam menghantar bantuan makanan, air dan barangan keperluan lain kepada ribuan keluarga yang meninggalkan kediaman masing-masing ketika taufan melanda wilayah kediaman mereka, minggu lalu.

Dalam pada itu, lebih banyak mayat ditemui di kawasan tanah runtuh, kata pegawai bantuan bencana.

Lebih 30,000 penduduk di utara Filipina dipindahkan kerana banjir dan tanah runtuh sementara hampir 1,000 rumah musnah selepas Taufan Goni membadai kawasan berkenaan.

Pegawai bencana berkata, 26 orang terbunuh, kebanyakannya akibat tanah runtuh.

Setiausaha Kebajikan Sosial Dinky Soliman berkata, helikopter dikerah menghantar makanan untuk lebih 1,000 keluarga di lapan kampung di Ilocos Sur.

Empat mayat ditemui di celah tanah runtuh di kawasan pergunungan Cordillera. Usaha mencari lebih 12 lagi mangsa masih dilakukan.

Purata 20 taufan melanda Filipina setiap tahun.

Pada 2013, Haiyan, taufan terkuat pernah membadai negara itu, melanda tengah Filipina, menyebabkan lebih 6,300 orang terbunuh. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:11 AM