HAMILTON memperagakan trofi dimenangi.
HAMILTON memperagakan trofi dimenangi.

Spa-Francorchamps, Belgium: Lewis Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak utama muncul juara Grand Prix Belgium mengatasi rakan pasukan dari Mercedes Nico Rosberg, sekali gus melebarkan kedudukannya selaku pendahulu Formula Satu musim ini.

Juara bertahan itu melepasi garisan penamat dengan kelebihan dua saat untuk meraih kemenangan keenam musim ini selepas 11 perlumbaan.

“Minggu yang menakjubkan,” kata Hamilton. “Saya mendapat pelarasan kereta yang baik. Saya sedikit berwaspada pada saat akhir kerana bimbang dengan tayar, namun saya berjaya mengatasinya.”

Ia kemenangan podium ke-80 dalam kariernya menyamai rekod yang dilakukan legenda F1, Ayrton Senna untuk berada di kedudukan keempat dalam senarai sepanjang zaman manakala Rosberg meraih kemenangan podium ke-36, menyamai pencapaian juara dua kali Graham Hill.

Rosberg bermula agak perlahan menyebabkan kedudukannya jatuh dari tempat kedua ke kedudukan keempat sebelum kembali mengejar untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

“Saya bermula dengan teruk,” kata Rosberg. “Saya mencuba sedaya mampu, namun Lewis tahu bagaimana untuk bertindak balas.”

Dua jentera Mercedes mendominasi perlumbaan tidak seperti tiga minggu lalu di Grand Prix Hungary apabila mereka gagal untuk menjejakkan kaki di podium.

Kemenangan ke-39 Hamilton itu membolehkan dia mendahului 28 mata mengatasi Rosberg di tempat kedua dengan saingan berbaki lapan perlumbaan.
- AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:35 AM