HAMILTON (kanan) bergambar bersama Valtteri Bottas.
HAMILTON (kanan) bergambar bersama Valtteri Bottas.
AFP

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton akan memulakan perlumbaan Grand Prix ke-200 di Belgium hujung minggu ini, berusaha menyamai rekod pemandu legenda Jerman, Michael Schumacher dengan memenangi 68 petak utama.

Ketika rehat musim panas sudah berakhir, pemandu Britain itu mengintai kemenangan kelimanya musim ini ketika dia berazam kembali mengejar pendahulu kejuaraan yang juga juara empat kali Sebastian Vettel dari Ferrari.

Kembali ke Eropah selepas menghabiskan rehat tradisi musim panas F1 di Caribbean, Hamilton, yang melepaskan tangga ketiga kepada rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas di Hungary, ketinggalan 14 mata di belakang Vettel.

Hamilton menang di Spa pada 2015, namun ditewaskan oleh rakan sepasukan yang juga juara dunia 2016 Nico Rosberg tahun lalu dan dia mempunyai keputusan bercampur baur di litar lama berkelajuan tinggi itu.

Pada 2008, apabila dia menang kejuaraan pertamanya, dia diturunkan daripada tangga pertama ke ketiga kerana memotong secara silap di selekoh dan dia mengalami satu lagi insiden termasuk perlanggaran dengan Rosberg yang menyebabkannya mengalami tayar pancit pada 2014.

Memburu kemenangan ketiga di Belgium, Hamilton akan menjadi pilihan utama sekali lagi namun menyedari Ferrari berjaya mengembalikan momentum dalam perebutan kejuaraan berikutan dominasi penamat satu-dua diketuai Vettel di Hungary.

Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff sudah memberi amaran kepada skuadnya supaya tidak mengambil mudah.

“Andaian adalah bahaya,” katanya. “Kami sudah lihat banyak kali musim ini ramalan boleh diketepikan dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan.

“Jadi kami tidak akan membuat sebarang andaian.”

Perlumbaan itu mungkin juga terjejas - seperti beberapa kali sebelum ini - dengan faktor cuaca di wilayah itu bermakna sebahagian daripada litar mengalami hujan dan sebahagian lagi kering.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 1:45 PM