Reuters

Spa-Francorchamps, Belgium: Nico Rosberg tidak mahu memberi tekanan terhadap kerja keras memburu gelaran Formula Satu sebaliknya memberi perhatian kepada perkara yang lebih menggembirakannya.

Pemandu Jerman yang kini ketinggalan 21 mata berbanding rakan sepasukannya di Mercedes dan juga juara bertahan, Lewis Hamilton menjelang separuh musim kedua, menghabiskan cuti rehat bulan ini dengan membuat persiapan menyambut kelahiran anak sulungnya.

Isterinya Vivian dijangka melahirkan seorang bayi perempuan minggu depan dan Rosberg memberitahu dia sudah mempersiapkan kereta keluarganya untuk ke hospital.

“Semuanya sudah siap, enjin kereta berfungsi dengan baik di garaj,” katanya sambil tersenyum kepada media menjelang Grand Prix Belgium.

“Tempat duduk bayi ada dalam Mercedes XL dan saya mengambil masa dua jam untuk memasangnya. Ia satu pengalaman yang mencabar,” katanya.

Keperitan ketika perlumbaan di Hungary yang mana pada satu ketika Rosberg berada di depan tetapi akhirnya menduduki tempat kelapan dan jauh ketinggalan berbanding Hamilton selepas pelanggaran dengan pelumba Australia, Daniel Ricciardo, semakin berkurangan.

“Hungary memang menyakitkan hati kerana ia peluang terbaik merapatkan jurang dengan Lewis. Ia juga menyakitkan hati kerana kehilangan tempat kedua sebegitu rupa pada saat akhir.

“Ia memang mencabar tapi dalam sukan perasaan itu tidak akan kekal lama. Saya seronok menikmati cuti musim panas.”

Begitu juga dengan kenangan Grand Prix Belgium tahun lalu yang mana kedua-dua pelumba Mercedes itu berlanggar pada pusingan kedua, menyebabkan Hamilton menuduh Rosberg sengaja melakukanya.

“Saat yang mencabar buat semua selepas perlumbaan itu tapi tidak perlu dikesali. Saya banyak belajar daripadanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:05 AM