Reuters

London: Jackie Stewart, pemandu tunggal Britain dengan tiga kejuaraan Formula Satu dunia, sedar rekodnya tidak akan bertahan lama selepas kemenangan menakjubkan Lewis Hamilton pada Grand Prix Bahrain, Ahad lalu.

Empat puluh dua tahun berlalu sejak pemandu Scotland itu yang kini berusia 75 tahun, memenangi kejuaraan ketiga dan terakhir pada 1973 namun juara dunia dua kali dari Mercedes itu berada di landasan terbaik untuk menyertainya selepas kemenangan ketiga dalam empat perlumbaan.

Stewart berada di podium mengendalikan temuramah selepas perlumbaan di litar Sakhir dan mengucapkan tahniah kepada Hamilton.

Beliau jarang memuji sebelum ini, mempersoalkan tahap minda pemandu Inggeris itu, selain memperlekehkan corak kehidupannya namun Hamilton menerima pujian itu dengan penuh bangga.

“Sering kali positif apabila juara sebenar menghargai apa yang anda lakukan. Jadi saya berasa bagus,” katanya.

“Beliau menyatakan sesuatu kepada saya dalam bilik selepas itu... beliau sering bercakap mengenai saya mengejar rekodnya. Beliau berkata ‘Anda akan mengejar saya, tapi saya tidak kisah’.”

Hamilton sudah muncul pemandu paling berjaya Britain dari segi jumlah kemenangan dengan Bahrain menjadikan keseluruhan kali ke-36 dalam kariernya berbanding Nigel Mansell (31) dan Stewart (27).

Musim ini bagaimanapun tahap persembahannya semakin meningkat.

Dia memulakan setiap perlumbaan di petak utama dan kini 27 mata berbanding pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukan Nico Rosberg. Kemenangan Ahad lalu adalah yang kesembilan buatnya dalam 11 perlumbaan Grand Prix terakhir.

Dia mungkin boleh dikalahkan seperti dibuktikan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di Malaysia, namun dia berasa lebih bertenaga berbanding sebelum ini.

“Saya berasa amat berkuasa dengan kereta ini, dengan pakej yang kami miliki,” ujarnya. “Saya berasa mampu meraih apa saja daripadanya. Saya berasa lebih selesa dengan jentera ini berbanding tahun lalu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:43 AM