EDEH (dua dari kanan)  menjaringkan dua gol ketika Kedah membenam DRB Hicom.
EDEH (dua dari kanan) menjaringkan dua gol ketika Kedah membenam DRB Hicom.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Penyerang import Kedah, Chidi Edeh menganggap misi mereka masih belum selesai dengan sasaran kini terarah ke saingan Piala Malaysia selepas berjaya merangkul trofi Liga Perdana sekali gus layak ke Liga Super musim depan.

Pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu antara watak penting dalam kecemerlangan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada kempen liga musim ini termasuk meledak dua gol ketika menang 5-1 ke atas DRB Hicom pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Edeh, 28, yang baru semusim bersama skuad Helang Merah semakin bernafsu untuk beraksi di pentas lebih besar Piala Malaysia bulan depan.

“Memang tugas saya (menjaringkan gol), saya perlu sentiasa mempersiapkan diri bagi melakukan yang terbaik. Saya dalam prestasi terbaik ketika ini dan sedia membantu pasukan meraih kemenangan.

“Kami berusaha keras sejak November lalu, kami gembira dapat memenangi trofi dan layak ke Liga Super kerana ia amat penting buat kami.

“Saya rasa kami sudah bersedia kerana pernah beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super sebelum ini dan mendapat keputusan baik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.

Sementara itu bagi pemain sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar menganggap keputusannya untuk kekal bersama pasukan negeri kelahirannya itu selepas menerima banyak tawaran pasukan lain tahun lalu nyata berbaloi.

“Saya bersyukur dengan pengorbanan untuk terus kekal dengan Kedah. Dengan pengorbanan ini dapat melakukan perubahan kepada pasukan Kedah yang akan kembali ke Liga Super.”

Kedah muncul juara selepas mengumpul 48 mata daripada 22 perlawanan, tiga mata mengatasi pencabar terdekat Pulau Pinang yang turut meraih slot ke Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:07 AM