PASUKAN Kedah perlu menang ke atas PKNS bagi mencerahkan peluang ke Liga Super musim depan.
PASUKAN Kedah perlu menang ke atas PKNS bagi mencerahkan peluang ke Liga Super musim depan.
Oleh Bashah Zainol Abidin


Alor Setar: “Kami mahu menang ke atas PKNS pada perlawanan esok (malam ini) kerana mahu mencerahkan peluang beraksi di Liga Super musim depan,” kata jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adha Yusoff.

Menurutnya, di atas kertas Kedah adalah pasukan pilihan tetapi ketika beraksi, apa saja boleh berlaku apatah lagi PKNS satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan mereka musim ini.

“Saya tidak perlu mengingatkan pemain mengenai kemungkinan bakal dihadapi jika tewas dan saya harap mereka cukup dewasa untuk mengetahuinya. Apa yang saya harapkan ialah, kami memperoleh tiga mata ketika menentang PKNS malam esok (ini).

“Untuk pertemuan malam esok, hanya penjaga gol Abdul Hadi serta penyerang Chidi Edeh yang mungkin tidak dapat diturunkan tetapi kami masih lagi mempunyai barisan terbaik untuk dipertaruhkan.

“Saya tahu lawan kita mengidam mata penuh dan kedatangan mereka ke Stadium Darulaman sudah pasti mahu mengulang kejayaan seperti yang dilakukan ketika bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, 7 Julai lalu,” kata Nidzam.

Katanya, beliau sudah menyediakan barisan pemain bagi menghadapi cabaran sengit lawan dan semua pemain perlu beraksi dengan penuh disiplin dan mengikuti perancangan yang diatur.

“Sejak menghuni Liga Perdana tiga tahun lalu, inilah peluang terbaik kami untuk layak ke Liga Super kerana kita akan beraksi lima perlawanan di Stadium Darulaman dan dua lagi di gelanggang lawan.

“Pemain perlu memberi lebih daripada 100 peratus jika mahu menjinakkan PKNS dan mereka perlu memberi tumpuan penuh selain tidak melakukan kesilapan.

“Kami juga perlu menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di tempat sendiri bagi mengumpul tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 9:26 AM