Oleh Bashah Zainol Abidin


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe mahu pemainnya mencatat kemenangan mutlak ke atas Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) malam ini bagi memastikan misi ke Liga Super selain menjulang gelaran juara Liga Perdana terlaksana.

Katanya, Kedah memerlukan sekurang-kurangnya 10 mata daripada baki empat perlawanan bagi dinobatkan juara dan ia boleh dicapai dengan syarat pemain kekal fokus dan mempamerkan aksi konsisten.

“Matlamat utama kita ialah kembali ke saingan Liga Super musim depan dan menjadi juara Liga Perdana adalah bonus kalau kita meraihnya. Semua itu dengan syarat kita menang baki perlawanan.

“Atas kertas segala-galanya nampak mudah tapi semuanya bergantung kepada kesungguhan pemain. Saya yakin dengan kemampuan pasukan mencapai matlamat utama ini,” katanya.

Ketika ini semua pemain berada dalam keadaan baik dan Chidi Edeh yang mengalami kecederaan paha juga sudah menjalani latihan sejak dua hari lalu.

Namun kata Cheng Hoe, pemainnya perlu tetap waspada kerana Johor DT II pasti mahu bangkit selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut.

“Apa yang perlu dilakukan pemain adalah beraksi dengan tenang seperti biasa dan elak daripada melakukan kesilapan dengan memberi tumpuan penuh kepada perlawanan,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun mengakui sengaja tidak menurunkan Edeh pada perlawanan lalu kerana Kedah sudah mendahului Kuala Lumpur 3-0 pada tiga suku perlawanan dan rehat yang mencukupi pasti memberi peluang kepada pemain dari Nigeria itu untuk sembuh sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 8:19 AM