Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kapten Kedah Khairul Helmi Johari mengingatkan rakan sepasukan kedudukan mereka untuk membawa pasukan ke final Piala Malaysia selepas tujuh tahun belum selamat.

Jelasnya baki 90 minit permainan separuh akhir kedua dengan FELDA United di Stadium Darul Aman Ahad ini pasti menjanjikan satu lagi drama selepas seri 2-2 pada aksi pertama di Selayang kelmarin.

“Bagi perlawanan seterusnya kami akan buat persiapan lebih baik, sebab hari ini kami bolos dua gol. Tapi ia masih dianggap keputusan baik untuk bekalan apabila beraksi di gelanggang sendiri nanti.

“Dengan keputusan seri hari ini (kelmarin) memang kami ada sedikit kelebihan tapi masih belum selamat,” kata bek tengah itu ketika ditemui Arena Metro semalam.

Kedah, juara Liga Perdana musim ini membuktikan mereka sukar untuk ditewaskan apabila bangkit dua kali menerusi penyerang import Sandro Da Silva dan Chidi Edeh bagi memadam jaringan ayam tambatan FELDA United Thiago Augusto Fernandes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:22 AM