Marcote (atas, kanan) harap Kedah ledak gol pada pertembungan separuh akhir kedua Ahad ini. Foto fail NSTP
Marcote (atas, kanan) harap Kedah ledak gol pada pertembungan separuh akhir kedua Ahad ini. Foto fail NSTP

Kuala Lumpur: Walaupun memperoleh dua gol penting di gelanggang lawan, juara Liga Perdana, Kedah akan terus memburu jaringan tambahan apabila berdepan FELDA United pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman Ahad ini.

Jurulatih sementara, Ramon Marcote Pequeno mengakui pasukannya harus menggandakan usaha dan tidak bergantung keputusan seri 2-2 dalam perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi bagi membolehkan mereka melangkah ke perlawanan akhir pada 12 Disember di Stadium Shah Alam.

"Penting bagi kami untuk menambah jaringan di Darul Aman dan mengelak FELDA (United) daripada memperoleh gol di tempat lawan," kata jurulatih yang berasal dari Sepanyol itu selepas perlawanan.

Kedah mendapat jolokan Helang Merah dua kali ketinggalan sebelum bangkit mengikat kedudukan dalam perlawanan itu.

Pemain terbaik perlawanan, Thiago Augusto Fernandes dari Brazil berjaya menjaringkan dua gol bagi skuad 'The Fighters' pada minit ke-13 dan m-54 sebelum Sandro Da Silva dan Chidi Edeh, masing-masing menjaringkan gol bagi Kedah di m-37 dan m-62. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 3:06 PM