AFP

London: Pemain sayap baru Chelsea, Pedro Rodriguez mendedahkan perbualan dengan Jose Mourinho dan Cesc Fabregas berjaya memujuknya berpindah dari Barcelona ke kelab juara Liga Perdana Inggeris itu.

Pedro memilih Blues berbanding kelab pencabar Inggeris, Manchester United walaupun mulanya dilihat hampir berpindah ke Old Trafford hinggalah Chelsea mencelah pada saat akhir.

Keputusan pemain berusia 28 tahun itu menolak tawaran United dan Manchester City lebih disebabkan sentuhan peribadi pengurus Chelsea, Mourinho dan rakan sepasukan kebangsaan Sepanyol, Fabregas, kedua-duanya menghubungi Pedro untuk memberitahunya betapa dia akan menghargai kehidupan di Stamford Bridge.

“Beliau (Mourinho) satu daripada alasan utama kenapa saya berada di sini. Beliau menelefon saya beberapa kali dan menyatakan memerlukan saya untuk memantapkan lagi pasukan,” kata Pedro.

“Beliau menang kejuaraan di mana saja beliau bertugas. Saya tidak sabar bermain di bawah kendaliannya dan harapnya menang lebih banyak kejuaraan.

“Saya bersembang dengan Cesc. Kami amat akrab. Saya sedar akan berasa seperti di negara sendiri di sini dan itulah satu alasan utama kenapa saya memutuskan untuk menyertai pasukan ini.

“Dia seorang pemain hebat, dia mempunyai visi menakjubkan dan dia boleh bermain baik dengan pemain serangan. Saya sedar kami bertindak baik bersama di padang jadi saya tidak sabar bermain dengannya sekali lagi.

“Saya pernah bermain dengan Diego Costa dan Cesar Azpilicueta sebelum ini dalam pasukan kebangsaan, jadi saya berasa amat selesa di sini.”

Pembelian terbaru Mourinho mempunyai rekod mengagumkan dengan lima trofi La Liga dan tiga Liga Juara-Juara.

Namun dia meninggalkan Barcelona selepas kurang dipedulikan di bawah Luis Enrique, yang lebih suka menurunkan tiga bintang serangan Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez sebaliknya hanya menggunakan pemain kelahiran Pulau Canary itu sekali-sekala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:06 AM