Cesc Fabregas. FOTO Reuters
Cesc Fabregas. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Pemain Chelsea, Cesc Fabregas berkata, dia berhutang ucapan terima kasih kepada pengurus Manchester United, Jose Mourinho kerana memberikannya peluang kedua di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Begitupun, perancangan Sepanyol itu tetap merancang untuk merosakkan keraian Mourinho apabila Chelsea bertemu United di final Piala FA, awal pagi Ahad ini yang menjadi satu-satunya trofi yang masih ditawarkan musim ini.

Tetapi menang ataupun kalah, Fabregas berkata dia amat menghormati lelaki yang membawanya ke Chelsea pada 2014 yang turut menjadi tempoh kedua Mourinho selaku pengurus di Stamford Bridge.

Selepas tiga tahun berkelana ke Barcelona susulan perpindahan dari Arsenal, pemain berusia 31 tahun itu jelas menjadi antara tonggak Chelsea yang menjulang gelaran liga pada musim 2014-15 selepas melakukan 18 umpanan gol.

“Saya menggemarinya. Saya sentiasa bercakap mengenai perkara itu. Saya banyak berhutang dengannya kerana dia membawa saya ke sini, saya akan sentiasa mengingatinya,” kata Fabregas.

“Pada tahun pertama saya di sini, (bekas pengurus Arsenal) Arsene (Wenger) sentiasa melayan saya seperti anak. Tetapi orang lain yang paling hampir selain dia ialah Jose.

“Cara dia melayan saya, cara bagaimana dia membuatkan saya rasa, bagaimana dia membenarkan saya menjadi ketua pasukan sejak hari pertama. Ia adalah menakjubkan dan selama empat tahun sejak saya menyertai Chelsea sehingga kini, ia sentiasa kekal dengan saya.

“Saya berterima kasih kepadanya atas pengalaman ini.”

Sekalipun pernah dibimbing Mourinho, Febregas lebih banyak menghabiskan kariernya sebagai ‘musuh’ pengendali dari Portugal itu dan ia diteruskan di Wembley dalam usaha Chelsea mengembalikan maruah selepas mengakhiri kempen liga di tangga kelima.

Di Arsenal, Fabregas sering menjadi duri dalam daging buat Mourinho yang menjadi pengurus di Chelsea dan selepas berpindah ke Barcelona, permusuhan mereka diteruskan apabila pengendali itu mengemudi Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:32 PM