FABREGAS (kiri) pernah berkunjung ke Malaysia ketika bersama Barcelona. FOTO NSTP
FABREGAS (kiri) pernah berkunjung ke Malaysia ketika bersama Barcelona. FOTO NSTP
AFP

Madrid: Bekas pemain tengah Arsenal, Barcelona dan Chelsea, Cesc Fabregas mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada usia 36 tahun dan mendedahkan rancangannya untuk segera terbabit dalam bidang kejurulatihan.

Fabregas memenangi Piala Dunia 2010 dan dua saingan Euro bersama Sepanyol, dua gelaran Liga Perdana Inggeris dengan Chelsea dan La Liga ketika di Barcelona.

"Dengan sangat sedih, masanya sudah tiba untuk saya menggantung but," tulis Fabregas di media sosial.

"Ia adalah satu perjalanan yang tidak akan saya lupakan," tambahnya.

"Dari hari pertama saya di Barca, Arsenal, kembali ke Barca, Chelsea, Monaco dan Como, saya akan menghargai mereka semua.

"Saya meraih pengalaman yang tidak pernah saya sangka akan mendekatinya."

Fabregas bergabung Andres Iniesta untuk menjaringkan gol kemenangan menentang Belanda pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Johannesburg.

Dia memulakan kerjayanya di akademi Barcelona sebelum menyertai Arsenal ketika berusia 16 tahun pada 2003.

Dia memenangi Piala FA 2005 bersama The Gunners dan kalah 1-2 kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim berikutnya.

Dia kembali ke Barcelona pada 2011 dan menghabiskan tiga tahun di Camp Nou sebelum menandatangani kontrak dengan Chelsea.

Fabregas berlepas ke Monaco pada 2019 dan menghabiskan musim lalu bersama Como di divisyen dua Itali.

Dia akan kekal di kelab berkenaan untuk bekerja dengan pasukan simpanan dan remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 9:48 AM