Oleh Azlan Muhammad Zain

Shah Alam: Ketua jurulatih negara, Dollah Salleh mencipta kejutan apabila bakal membawa tiga penjaga gol ke saingan Piala AFF di Singapura penghujung bulan ini.

Perkembangan ini membolehkan tiga penjaga gol kebangsaan-Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farizal Marlias dan Khairul Azhan Khalid-yang tersenarai dalam kem latihan pusat boleh menarik nafas lega apabila berada dalam senarai 22 pemain terakhir menggalas cabaran negara.

Kebiasaannya hanya dua penjaga gol disenaraikan namun jurulatih penjaga gol Harimau Malaya, Omar Salim berkata, menerusi perbincangannya dengan Dollah, mereka mengambil kira pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku.

“Kami memikirkan mungkin akan berlakunya kecederaan, kad merah, penggantungan kad kuning dan sebagainya. Jadi buat masa sekarang, Dollah bersetuju untuk membawa tiga penjaga gol namun keputusan akhir hanya akan diketahui selepas aksi persahabatan menentang Vietnam pada Ahad nanti,” katanya sejurus tiba dari Johor selepas kem latihan pusat selama seminggu di selatan tanah air itu.

Seandainya keputusan berkenaan kekal, Dollah akan menggugurkan empat pemain sama ada di posisi pertahanan, tengah atau penyerang dengan aksi menentang Syria malam esok.

Omar berharap ketiga-tiga penjaga golnya mendapat rehat mencukupi selepas mengharungi saingan domestik yang panjang dan apabila tiba kejohanan sebenar, mereka mampu melonjak ke tahap terbaik.

“Melihat kepada persefahaman dengan pemain pertahanan, saya tidak mempunyai masalah untuk menurunkan mana-mana penjaga gol namun Khairul Azhan kekurangan pengalaman berbanding Khairul Fahmi dan Farizal. Jadi Khairul Fahmi atau Farizal calon utama berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Tambahnya, kem latihan di Johor ketika menggunakan padang rumput tiruan di Stadium Kluang banyak membantu anak buahnya membiasakan diri dan berharap tidak menghadapi banyak masalah menentang Myanmar dan Thailand di Stadium Jalan Besar nanti.

Sementara itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjaya mendapatkan pengurangan harga tiket bagi tiga perlawanan peringkat Kumpulan B Piala AFF yang dijual petang esok di Stadium Shah Alam dengan harga RM60 sekeping bagi aksi menentang Myanmar dan Thailand manakala pertemuan dengan tuan rumah RM65.

Namun pihak berkuasa Singapura menasihatkan penyokong negara agar membawa kad pengenalan diri kerana pemeriksaan akan dijalankan di Stadium Jalan Besar dan Stadium Nasional pada hari perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:13 AM