Kluang: Jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh berharap anak buahnya dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Syria pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan itu mampu menguji persediaan pasukan dalam menghadapi saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Singapura bermula hujung bulan ini.

“Saya amat berharap pada perlawanan persahabatan dengan Syria, kami akan dapat memberikan saingan walaupun kami tahu kedudukan pasukan Timur Tengah itu mencapai tahap Eropah,” katanya semalam.

Beliau berkata, persiapan dilakukan pasukan kebangsaan selama seminggu di Johor membuatkan pasukannya lebih berkemampuan untuk bersaing dengan Syria.

Mengenai latihan skuad Harimau Malaya di padang tiruan di Stadium Kluang, beliau berkata, ia sedikit sebanyak mampu menyediakan pemainnya untuk menyesuaikan diri dengan padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Menurutnya, kualiti padang tiruan di Stadium Kluang jauh lebih baik daripada Stadium Jalan Besar, namun pemain kebangsaan lebih berminat bermain di padang rumput asli. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:13 AM