SINGAPURA 23 November 2014. Kapten Harimau Malaya, Amri Yahyah (kanan) kecewa selepas pasukannya gagal menjaringkan gol ketika menentang Myanmar pada perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
SINGAPURA 23 November 2014. Kapten Harimau Malaya, Amri Yahyah (kanan) kecewa selepas pasukannya gagal menjaringkan gol ketika menentang Myanmar pada perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Daripada Aziman Rosdi di Singapura


Singapura: Misi memburu tiga mata skuad Harimau Malaya tidak kesampaian apabila skuad kendalian Dollah Salleh itu yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain hanya mencatat keputusan seri 0-0 menentang Myanmar pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2014.

Keputusan di Stadium Jalan Besar itu pasti menyukarkan laluan skuad kebangsaan yang bakal berdepan lawan lebih hebat Rabu ini menentang juara tiga kali Thailand dan juara bertahan Singapura (Sabtu) untuk merebut slot ke separuh akhir.

Beraksi di atas padang rumput tiruan yang basah akibat hujan lebat sehingga mengakibatkan perlawanan tertangguh selama sejam menyaksikan anak buah Dollah Salleh sukar mendapat rentak berbanding Myanmar.

Namun Malaysia hampir di depan pada minit ke-5 selepas penyerang Mohd Amri Yahyah berjaya menewaskan penjaga gol Thiha Si Thu namun jaringan itu tidak disahkan pengadil dari Turkmenistan Kurbanov Charymurat kerana ofsaid.

Harimau Malaya juara 2010 sekali lagi terlepas peluang terbaik selepas tandukan pemain pertahanan Mohd Afif Amiruddin di minit ke-31 tersasar meskipun pintu gol sudah terbuka.

Malang menimpa Malaysia empat minit selepas itu apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah Gary Steven Robbat menerima kad kuning kedua.

Meskipun ketiadaan seorang pemain aksi Harimau Malaya lebih positif pada babak kedua apabila lebih banyak melancarkan serangan.

Namun beberapa keputusan Kurbanov menjadi pertikaian termasuk tidak memberikan sepakan penalti kepada skuad negara selepas Kunanlan dikasari pada minit ke-54.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 8:33 PM