Antara pekerja asing yang ditahan. FOTO Zaid Salim
Antara pekerja asing yang ditahan. FOTO Zaid Salim
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 21 pekerja asing yang menetap secara haram di negeri ini ditahan dalam serbuan Ops Ikrar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu bermula jam 8 malam hingga 1 pagi tadi.

Serbuan dibuat oleh 14 pegawai dan anggota JIM Terengganu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu Ahmad Salihin Salleh, di empat lokasi sasaran membabitkan kawasan pembinaan, rumah sewa dan kedai makan di sekitar Gong Badak dan bandar raya ini.

Ahmad Salihin berkata, dalam serbuan itu pihaknya memeriksa seramai 71 pekerja asing dari Myanmar, Bangladesh, Syria dan Yaman dan menahan seramai 21 orang daripada mereka kerana melakukan kesalahan mengikut akta Imigresen.

"Semua yang ditahan berusia antara 15 hingga 44 tahun kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah menetap tanpa memiliki sebarang dokumen mengikut Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 39(b) akta sama kerana tinggal lebih masa dan langgar syarat pas atau permit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 8:25 PM