PATI lelaki dan wanita yang ditahan dalam Ops Sapu di tapak pembinaan taman rekreasi keluarga di Kuala Berang, hari ini. FOTO Zaid Salim.
PATI lelaki dan wanita yang ditahan dalam Ops Sapu di tapak pembinaan taman rekreasi keluarga di Kuala Berang, hari ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


LELAKI warga asing nekad melarikan diri dengan meninggalkan isteri bagi mengelak dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu yang melakukan serbuan di tapak pembinaan taman rekreasi keluarga di Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 40 tahun itu gagal apabila dia ditahan tidak lama kemudian.

Serbuan dilaksanakan unit risikan JIM Terengganu dilakukan susulan aduan awam pada 11. 15 pagi.

Ketika serbuan, lelaki warga Indonesia terbabit bersama isteri berusia 38 tahun yang warga Indonesia sedang asyik bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran pegawai penguat kuasa JIM sebelum dikejar dan ditahan di sekitar kawasan tapak pembinaan itu.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, suami isteri terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa dibenarkan.

Beliau berkata, mereka antara 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam Ops Bersepadu (Ops Sapu/Belanja/Selera) dilaksanakan di Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Terengganu.

Katanya, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Ahmad Salihin Salleh dengan mensasarkan tapak pembinaan, kedai menjual perabot, kedai makan dan kedai runcit, bermula 9 pagi hingga 4 petang.

“Dalam operasi selama lapan jam itu, kami memeriksa 78 warga asing dan seramai 17 daripada mereka ditahan kerana melanggar akta dan peraturan Imigresen.

“Semua 17 Pati ditahan itu membabitkan tujuh warga Bangladesh, Indonesia (lima), Thailand (empat) dan seorang warga Myanmar berusia antara 17 hingga 50 tahun,” katanya.

Rahim berkata, semua Pati terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, lapan daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa dibenarkan, dua disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama dan tujuh lagi disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat permit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 7:18 PM