PENUNTUT warga Bangladesh menyalahgunakan pas pelajar untuk bekerja. FOTO Zaid Salim
PENUNTUT warga Bangladesh menyalahgunakan pas pelajar untuk bekerja. FOTO Zaid Salim
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Penuntut universiti di Gombak, Selangor antara 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam serbuan Ops Ikrar dan Ops Selera Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, malam tadi.

Lelaki warga Bangladesh berusia 21 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas pelajar untuk bekerja di negeri ini.

Operasi bermula 8 malam hingga 1 pagi tadi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh dengan pembabitan 14 anggota dan pegawai 14.

"Operasi pada malam ini kita lakukan dengan menyasarkan kedai makan dan restoran tomyam serta tapak pembinaan perumahan di daerah ini dan Kuala Nerus.

"Pada operasi kali ini kita memeriksa 41 pekerja asing membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Thailand serta menahan 21 PATI berusia 18 hingga 47 tahun," katanya.

Mengulas kes penuntut asing terbabit, beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci termasuk menghubungi pengurusan universiti berkenaan bagi mengenal pasti statusnya sebagai penuntut di universiti itu.

Katanya, semua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 3:03 PM