ANTARA PATI yang ditahan Imigresen dalam operasi sekitar Kemaman. FOTO Zaid Salim
ANTARA PATI yang ditahan Imigresen dalam operasi sekitar Kemaman. FOTO Zaid Salim
Oleh Zaid Salim


Chukai: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas di Kemaman awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, serbuan menerusi Ops Selera dan Ops Sapu di enam lokasi membabitkan dua restoran tom yam dan empat rumah kongsi dilakukan 17 pegawai dan anggota agensi itu yang diketuai beliau.

Katanya, operasi dilakukan bermula 8.30 malam semalam dan berakhir 3.30 pagi, hari ini.

"Operasi selama lapan jam ini berjaya memeriksa seramai 33 pekerja asing dan daripada jumlah itu seramai 13 orang ditahan termasuk dua wanita warga Thailand.

"Semua PATI terbabit ditahan kerana menyalahguna pas lawatan sosial mengikut Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1859/63, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan membabitkan warga Myanmar, Thailand dan Indonesia dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 6:10 PM