LELAKI Indonesia terjun ke lombong ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di kawasan Projek Perlombongan Bijih Besi, Sungai Rengat, Hulu Paka, Dungun, hari ini. FOTO Zaid Salim.
LELAKI Indonesia terjun ke lombong ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di kawasan Projek Perlombongan Bijih Besi, Sungai Rengat, Hulu Paka, Dungun, hari ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


LELAKI warga Indonesia nekad terjun ke dalam lombong bagi meloloskan diri daripada ditangkap pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di kawasan Projek Perlombongan Bijih Besi, Sungai Rengat, Hulu Paka, Dungun, hari ini.

Tindakan lelaki berusia 32 tahun itu menyebabkan pegawai penguat kuasa terbabit meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al-Muktafi Billah Shah bagi menyelamatkan lelaki terbabit daripada lemas.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 minit berada di dalam lombong berkenaan, lelaki itu menyerah diri dengan berenang ke tebing selepas dipujuk anggota bomba.

Lelaki terbabit antara 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil serbuan Op Sapu dilaksanakan JIM Terengganu di kawasan Perindustrian Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan kawasan perlombongan terbabit, bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, menerusi operasi terbabit seramai 19 pegawai dan anggota dikerahkan bagi melakukan pemeriksaan terhadap pekerja di dua lokasi berkenaan.

Beliau berkata, hasil serbuan di kawasan lombong terbabit, pihaknya memeriksa 12 pekerja asing dan tujuh daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut akta dan peraturan imigresen.

“Manakala hasil serbuan di kawasan Perindustrian Bandar Al-Muktafi Billah Shah pula, 27 pekerja asing yang bekerja di kilang papan dan kilang sawit diperiksa dan sembilan daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Jumlah keseluruhan tangkapan seramai 16 PATI membabitkan 10 warga Indonesia, empat warga China termasuk seorang wanita dan dua lelaki Nepal,” katanya.

Beliau berkata, semua PATI berusia antara 21 hingga 49 tahun terbabit di bawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:24 PM